JUMAAT, 1 APRIL 2022
KUCHING: Perasmian stesen minyak bersepadu Petroleum Sarawak (PETROS) di Darul Hana di sini yang menempatkan stesen pelbagai bahan bakar pertama di Malaysia menandakan satu lagi lonjakan ke arah Sarawak yang lebih progresif dan kukuh dari segi ekonomi.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, impian seluruh rakyat Sarawak untuk mempunyai stesen minyak tersendiri kini telah menjadi kenyataan.
“Saya percaya ini adalah visi semua rakyat Sarawak untuk melihat stesen minyak jenama PETROS kita sendiri dan hari ini dengan pelancaran stesen pelbagai bahan api ini impian kita telah menjadi kenyataan.
“Ini adalah satu langkah ke arah membina masa depan yang mampan dalam segmen tenaga baharu kerana ia akan memulakan kepentingan kenderaan elektrik dan dalam fasa akan datang, kenderaan sel bahan api hidrogen,” katanya semasa berucap merasmikan PETROS di Darul Hana pada Jumaat.
Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari menambah, stesen pelbagai bahan api ini menunjukkan keseriusan usaha Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) Energy untuk memacu pengurangan pelepasan karbon yang menyebabkan pencemaran dan meninggalkan persekitaran yang bersih untuk generasi akan datang sekaligus ke arah ekonomi hijau.
“Pembangunan rangkaian stesen pelbagai bahan api ini akan menjadi infrastruktur utama untuk masa depan sifar karbon yang bersih kerana ia menggalakkan penggunaan kenderaan berasaskan elektrik dan bebas pelepasan.
“Kita harus melihat ke hadapan kerana rangkaian stesen mengisi bahan api akan menjadi tulang belakang infrastruktur untuk penggunaan kenderaan elektrik bateri dan sel bahan api dalam kita bergerak ke arah hijau,” tambahnya.
Sehubungan itu, Premier Sarawak berharap rakyat negeri ini dapat melihat stesen PETROS sebagai stesen minyak masa depan dengan pengecas kenderaan elektrik seterusnya mendidik anak-anak tentang bahan api masa depan iaitu hidrogen.
Stesen berkonsepkan 3 dalam 1 yang menyediakan bahan bakar konvensional iaitu petrol, mogas dan diesel, tempat mengecas kenderaan elektrik serta tempat pengisian bahan bakar hidrogen ini dibina oleh SEDC Energy bertujuan menjana ke arah alam sekitar yang lebih bersih di samping merancakkan ekonomi hidrogen di Sarawak.
Difahamkan, terdapat enam stesen PETROS akan dibina di Sarawak iaitu dua di Kuching dan satu stesen masing-masing di Sri Aman, Sibu, Bintulu dan Miri. -EDISI UKAS
Sumber dari : Sarawakku